Kapten negara dalam Kejohanan Badminton Universiti Dunia, Low Juan Shen, menganggap Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menepati sasaran satu emas dengan syarat berhati-hati dengan pihak lawan yang pernah mendapat pengalaman di pentas antarabangsa.

Misi memastikan sekurang-kurangnya satu pingat emas dibutirkan skuad negara menjadi keutamaan.

Dengan persediaan yang telah dilakukan selain muncul selaku tonggak utama menghadirkan emas menerusi acara beregu bersama gandingannya, Nur Muhamad Azriyn Ayub, Juan Shen menganggap edisi ke-15 ini mampu membawa tuah kepada negara.

"Malaysia memerlukan semangat sepasukan dan memiliki peluang untuk meraih emas kali ini," kata Juan Shen.

Selain Juan Shen dan Azriyn, dua nama lain seperti R. Satiestharan dan Erica Khoo juga diharap mampu memainkan peranan berpandukan pengalaman mereka di pentas antarabangsa.

Bagi jurulatih negara, Rashid Sidek, prestasi cemerlang wakil negara seperti Goh Jin Wei dan Cheam June Wei akhir-akhir ini diharap mampu membentuk motivasi terbaik wakil negara dalam saingan yang melibatkan 17 negara itu.

"Sukar untuk memilih mendapatkan pemain yang lebih berkualiti kerana terikat dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)," kata Rashid.