Meskipun gagal mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan terakhir saingan Junior Purple League, ketua jurulatih Kelab Badminton Petaling, Yap Kim Hock, tetap melahirkan rasa puas hati apabila berjaya mempertahankan kejuaraan liga musim ini.

Dalam perlawanan terakhir itu, Kim Hock akur apabila misinya untuk meraikan kejuaraan dengan rekod tanpa kalah musnah selepas tunduk 1-4 berdepan Kelab Badminton Ampang Jaya.

Bagaimanapun, dia tetap memuji kecemerlangan anak buahnya mengumpul mata sejak daripada perlawanan pusingan pertama hingga berjaya kekal di tangga teratas liga, sekaligus kejuaraan menjadi milik mereka.

“Saya amat berpuas hati kecuali kami tewas kepada Kelab Badminton Ampang Jaya. Masih terdapat beberapa lagi perkara yang kami harus perbaiki, terutama sekali kekuatan mental sepanjang kejohanan,” jelas Kim Hock.

Tiada rehat panjang buat pemainnya, Kim Hock mahu mereka terus fokus untuk mengekalkan rentak permainan terbaik dalam Kejohanan Junior Champions Challenge bermula 20 Oktober ini.

“Tumpuan kami adalah kepada Junior Champions Challenge selepas kami memenangi saingan liga.”