KB (Kelab Badminton) Bandar Maharani semakin hampir untuk mengecapi kejuaraan Divisyen Dua Junior Purple League (JPL) 2016 selepas berakhir perlawanan pusingan kelima apabila berjaya membelasah KB Bukit Cheras 5-0(15-0) di Gem In Mall, Cyberjaya hari ini.

Berbaki tiga lagi perlawanan, KB Bandar Maharani kini mengutip mata keseluruhan sebanyak 53 mata dengan 33 mata kemenangan mengatasi lawan terdekat di tangga kedua, KB Rawang. Jurulatih KB Bandar Maharani, Yap Kim Heng sudah boleh tersenyum menanti hari pasukannya ditabalkan sebagai juara Divisyen Dua JPL 2016.

Mengulas kemenangan besar itu, Kim Heng yang begitu lega beranggapan kemenangan itu adalah sesuatu yang luar biasa.

Katanya, “Kita dapat menang dengan keputusan di luar jangkaan kerana bagi saya KB Bukit Cheras juga satu pasukan yang kuat. Saya rasa kita dah almost there (hampir menjadi juara). Saya juga memang target untuk ke Divisyen Satu,”kata Kim Heng.

Abang kepada bekas jurulatih kebangsaan, Yap Kim Hock itu juga percaya persiapannya sejak awal untuk mencari pemain berkualiti disamping pengalamannya dalam badminton sejak sekian lama adalah kunci kepada kejayaan pasukan KB Bandar Maharani.

Kim Heng berkata, “Sebenarnya, saya berpengalaman dalam dunia badminton dahulunya sebagai jurulatih Johor, Sukan Malaysia (SUKMA), serta Sirkit Kebangsaan. Saya tahu standard pemain mana yang sesuai untuk bertanding dalam divisyen dua.

“Sebab itulah apabila memilih pemain, saya memilih pemain berdasarkan standard divisyen satu dan bukan divisyen dua. Apabila memerlukan khidmat pemain yang saya minat untuk bersama pasukan, saya akan menghubungi mereka sejak awal lagi,” ujar jurulatih berusia 50 tahun itu.

Dalam perlawanan tadi, pemain perseorangan KB Bandar Maharani, Lim Chong King menang 11-7,11-2,11-4 (3-0) menentang Ong Wei Jian, diikuti perseorangan perempuan Thanyathorn Thamnopakao mengatasi Ting Ee Chin 11-8,11-4,11-7 (3-0).

Selepas itu, gandingan Seddrick Alwyn/Wong Tien Ci dalam beregu lelaki berjaya mengatasi lawan mereka dengan keputusan 11-2, 11-2,11-9 (3-0).

Beregu perempuan juga mempamerkan aksi menarik dengan gandingan Go Pei Kee/ Tan Sueh Jeou juga mengatasi lawan dengan keputusan 11-4,11-8,11-6 (3-0) sebelum beregu campuran import dari Thailand Nathakorn Jarareree/Weeraphat melengkapkan kemenangan bergaya KB Bandar Maharani dengan keputusan 11-3,11-7,11-4 (3-0).

Dengan jurang mata yang agak jauh meningggalkan pasukan lain dalam saingan Divisyen Dua JPL 2016 itu, tiga perlawanan pusingan terakhir di Challenger Sport Centre, Ampang bakal menobatkan KB Bandar Maharani sebagai juara andai mereka tidak melakukan kesilapan mudah pada 15 dan 16 Oktober nanti.