Pemain badminton negara, Soong Joo Ven, sedia menerima apa jua hasil keputusan Mesyuarat Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan hati terbuka kerana dia sudah mempunyai perancangan tersendiri jika keputusan tidak memihak kepadanya.

Masa sudah tamat buat pemain kebangsaan untuk menawan hati badan induk itu menerusi prestasi mereka apabila keputusan menyingkirkan pemain bakal ditentukan Jumaat ini.

Bagaimanapun, apa jua keputusan yang bakal ditentukan, pemain berumur 24 tahun dari Ampang Jaya itu bersedia menerimanya dengan hati terbuka kerana telah mempunyai perancangan tersendiri.

"Saya sudah bersedia menghadapi cabaran pada tahun depan.

"Kedudukan saya (bersama BAM) belum pasti lagi, kemungkinan saya akan mewakili kelab tetapi saya berharap boleh mendapatkan penaja yang mencukupi sebagai pemain profesional," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Dalam pada itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, akur dengan keputusan yang bakal dilakukan BAM sekiranya ada pemain di bawah kendaliannya tidak bernasib baik.

Tambahnya, banyak pertimbangan perlu dibuat agar pihak persatuan tidak salah menilai di antara kaca dan permata yang sepatutnya terus berada dalam kem kebangsaan.

"Pemain-pemain muda ini masih memerlukan ruang peralihan untuk mereka mencapai peringkat yang lebih tinggi.

"Dengan ketiadaan pemain senior, gabungan prestasi dalam latihan itu susah untuk dicapai," kata Misbun pula.

Editor: Shaiful Shamsudin