Badminton dunia menjulang Lin Dan dan Kento Momota sebagai perseorangan kidal yang luar biasa.

Kali terakhir Malaysia memiliki jaguh elit sedemikian adalah Wong Choong Hann yang kini merupakan pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kelibat Kok Jing Hong selaku alumni Kem Badminton Astro turut boleh diketengahkan.

Pemain Kedah berumur 18 tahun itu kembali bernyawa di bawah tunjuk ajar Pengarah Pembangunan Remaja negara, Datuk Misbun Sidek.



Segar daripada memenangi Terbuka Remaja Jerman Ahad lalu, Jing Hong berkongsi pandangan mengenai Misbun bersama skuad pelapis sejak bulan lalu selain kemahuan memburu kejuaraan remaja dunia musim ini.

"Gelaran terakhir saya adalah pada 2018.

"Sudah lama saya tersekat di situ. Mungkin ini ia akan melonjak keyakinan saya supaya saya berlatih lebih gigih.

"Sebelum saya ke Eropah, Misbun sempat berpesan kepada saya agar tidak mudah berputus asa memandangkan ia adalah kejohanan B-18.

"Saya sedia patuh dengan arahannya," katanya ketika diwawancara wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.