Jin Wei terus pamer aksi cemerlang di Buenos Aires

Oleh Bernama 9 Oktober 2018 2414
Jin Wei terus pamer aksi cemerlang di Buenos Aires
Pembawa bendera negara dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, Goh Jin Wei, meneruskan rekod cemerlang dalam temasya itu apabila menewaskan pemain badminton Sweden, Ashwathi Pillai, awal pagi tadi.

Pemain berusia 18 tahun di ranking ke-26 dunia itu menundukkan Ashwathi, ranking ke-236, dengan catatan 21-15, 21-12 dalam pertemuan perseorangan wanita Kumpulan C di Technopolis Park.

Ini kemenangan keduanya selepas mengetepikan cabaran Maharani Sekar Batari dari Indonesia 21-11, 21-15 kelmarin.

Jin Wei yang juga pemain pilihan ketiga akan bertemu wakil Jerman, Ann-Kathrin Spori, esok dalam perlawanan terakhir kumpulan bagi merebut tempat ke suku akhir memandangkan hanya juara kumpulan layak ke pusingan itu, demikian menurut laman sesawang rasmi www.buenosaires2018.com. 

Sementara itu, dalam acara ping pong, kedua-dua wakil negara, Choong Javen dan Alice Chang Li Sian, gagal ke pusingan kedua bagi perseorangan lelaki dan wanita setelah gagal meraih tempat dua teratas dalam kumpulan.

Choong menamatkan saingan Kumpulan E di tempat ketiga selepas hanya menang satu daripada tiga perlawanan manakala Alice pula di tempat keempat Kumpulan D setelah  kalah kesemua tiga perlawanan.

Mereka akan menyertai acara berpasukan campuran yang dijadualkan bermula Jumaat ini.

Turut meneruskan prestasi cemerlang ialah skuad hoki lelaki lima sebelah yang meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan A, mengetepikan cabaran Mexico 4-2 di Youth Olympic Park.

Gol pasukan negara disumbangkan oleh Mohd Akhimullah  Anuar Essok (m-4), Muhd Arif Syafie  Ishak (m-8, 19),  dan Syarman Mat Tee (m-19).

Mexico berjaya merapatkan jurang menerusi gol padang oleh  Luis Villegas (m-14) dan Jorge Estrada (m-20).

Malaysia yang dibimbing oleh Wallace Tan akan berdepan  Zambia dalam perlawanan pusingan awal ketiga mereka esok.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen