Pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mempertaruhkan segala-galanya untuk menggenggam kembali mahkota juara apabila bakal membuat penampilan terakhir dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Markham, Kanada, bulan depan.

Edisi 2015 di Lima, Peru mengangkat Jin Wei sebagai antara permata baru dalam dunia badminton tempatan selepas menjulang kejuaraan remaja dunia.

Namun, dua edisi berikutnya di Bilbao, Sepanyol dan Yogyakarta, Indonesia berkesudahan dengan kekecewaan, sekali gus membuatkan 2018 sebagai peluang terakhirnya untuk mencapai semula gelaran itu kerana sudah mencecah usia 18 tahun.

Keyakinan itu juga hadir setelah dia baru sahaja dinobatkan sebagai pemenang pingat emas Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, baru-baru ini.

"Saya hanya mahu tampil beraksi di tahap terbaik. Namun, banyak nama yang saya tidak pernah temui dalam saingan kali ini. Apa yang penting, kenal pasti terlebih dahulu permainan mereka.

"Sebagai contoh, China sering menghantar satu wakil tetapi dalam kejohanan ini, mereka membawa empat atau lima pemain," katanya.

Selain menumpukan kepada acara individu, Jin Wei juga sudah bersedia untuk membantu dalam acara berpasukan campuran yang turut dikenali sebagai Piala Suhadinata.

Tahun lalu, skuad negara pulang dengan gelaran naib juara setelah tumpas di tangan China dalam aksi final.

"Perancangan dalam permainan perlu bagus. Saingan di peringkat remaja sedikit berbeza.

"Kejohanan kali ini ibarat permulaan semula buat saya," tambah Jin Wei.