Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mengakui peralihan daripada pemain remaja kepada pemain senior bukan mudah untuk dilalui dan mahu lebih bersedia untuk menghadapi musim yang lebih mencabar tahun depan.

Tahun ini merupakan tahun terbaik buat Jin Wei dalam menutup karier sebagai pemain remaja.

Antaranya adalah kejayaan meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, dan muncul juara dunia remaja buat kali kedua dalam kariernya di Markham, Kanada.

Ia merupakan penutup satu babak dan permulaan baru buat dirinya apabila bergelar pemain senior sepenuh masa menjelang tahun depan.

Antara misi utamanya adalah memberikan saingan dalam pertandingan lebih besar dan meningkatkan kedudukan ranking.

Ia termasuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, yang akan bermula April depan.

"Saya berasakan masih belum cukup bagus untuk beraksi di pentas senior.

"Selepas melalui jadual padat sepanjang tahun ini, saya kini boleh menumpukan fokus kepada latihan di peringkat senior," katanya ketika ditemui dalam majlis bertemu peminat anjuran salah satu penaja utama pasukan yang diwakilinya, Ampang Jaya BC, dalam saingan SS Purple League (SSPL) 2018-19 di Petaling Jaya, hari ini.

Dalam pada itu, Jin Wei menjelaskan terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan dirinya berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

"Saya sedar dia (Seu Bock) sudah mempersiapkan perancangan terbaik untuk saya.

"Ia bagi mengatasi kelemahan yang saya miliki seperti merapatkan jurang dengan pemain-pemain terbaik dunia.

"Kami pasti akan mengatasinya tahun depan," tambahnya.