Permata badminton negara, Goh Jin Wei, kini boleh menghela nafas lega apabila menamatkan antara cabaran paling besar baginya pada tahun 2017, iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jin Wei, yang merupakan pelajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, selesai menduduki SPM, Isnin lalu.

Mata pelajaran Kimia adalah kertas peperiksaan terakhir daripada lapan subjek keseluruhan yang perlu menjadi tumpuan Jin Wei di samping kerjaya sebagai pemain kebangsaan.

Berakhirnya peperiksaan ini, Jin Wei berkongsi apa ertinya untuk mengimbangi pelajaran dan keghairahan utamanya, badminton.

"Pelajaran dan sukan memiliki tekanan yang berbeza. Selepas ini, saya boleh memberikan tumpuan kepada prestasi saya di gelanggang," katanya.

Jin Wei turut meluahkan keinginannya untuk melanjutkan pelajaran pada masa akan datang.

Tetapi dia mengetahui keutamaannya adalah badminton apabila tahun 2018 menawarkan slot penting mewakili skuad kebangsaan seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Saya memiliki hasrat untuk melanjutkan pelajaran tetapi saya akan memberikan keutamaan bagi saingan yang bakal dihadapi pada tahun 2018," katanya.