Perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, melakar sejarah bermakna dengan meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina hari ini yang juga merupakan emas sulung kontinjen Malaysia dalam sejarah menyertai temasya itu.

Berdasarkan ranking remaja dunia, Jin Wei berada di kedudukan ketiga sementara lawan dari China, Wang Zhiyi, merupakan pemain nombor satu dunia.

Namun, berdasarkan pengalaman beraksi dalam beberapa kejohanan peringkat senior, Jin Wei menampilkan prestasi memukau.

Dia menoktahkan kejayaan selepas bertarung tiga set 16-21, 21-13, 21-19 untuk membawa pulang emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Remaja.

"Jelas sekali strateginya menjadi manakala saya kekal dengan strategi semasa sehingga menyebabkan kekalahan saya dalam set pertama.

"Selepas itu, dia membuat kesilapan dan saya mengambil kesempatan ke atasnya," katanya.

Justeru, Jin Wei mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pemain yang memenangi Kejohanan Remaja Dunia serta emas Sukan Olimpik Remaja.

Terdahulu, Malaysia pernah memenangi emas menerusi Cheam June Wei dalam acara beregu campuran bersama pemain Hong Kong, Ng Tsz Yau, dalam edisi Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China.

Bagaimanapun, emas itu tidak dikira dalam pungutan kontinjen negara kerana acara tersebut dianggap sebagai sukan pertunjukan ketika itu.

"Saya tidak sangka dengan kejayaan ini.

"Saya hanya berjuang dan menikmati setiap pukulan.

"Saya sangat teruja dan bangga kerana dapat menyumbang emas buat Malaysia," tambahnya.

Turut berbangga dengan kejayaan Jin Wei ialah Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, yang berkata: "Kami amat gembira dengan pencapaian Jin Wei kerana memenangi pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik Remaja.

"Dengan kemenangan tersebut, Jin Wei muncul satu-satunya pemain negara yang memenangi Sukan Olimpik Remaja dan Kejohanan Remaja Dunia."