Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, akan jadi individu pertama menitiskan air mata seandainya Malaysia gagal layak ke pusingan akhir Piala Uber 2018.

Seperti skuad lelaki dalam misi ke Piala Thomas, skuad wanita juga tidak boleh bergantung kepada keselesaan kelayakan Piala Uber menerusi ranking.

Kerana itu, Jin Wei merupakan pemain penting, dengan dia disasarkan menghadiahkan mata buat skuad negara apabila melalui Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Februari nanti.

Sebelum menghadapi saingan tersebut, pemain kelahiran Pulau Pinang ini berpeluang membantu memperbaiki ranking skuad wanita jika memperoleh keputusan positif dalam tiga kejohanan bertaraf Masters pada Januari. Bagaimanapun, dia perlu melalui pusingan kelayakan dalam dua kejohanan itu.

"Saya berasakan saingan sukar menanti saya kerana menghadapi kejohanan berturut-turut tetapi akan cuba melakukan yang terbaik," kata Jin Wei.

"Kami perlu berusaha memperbaiki ranking serta melayakkan diri dengan mara ke separuh akhir dalam saingan di Alor Setar nanti," kata ketua jurulatih skuad wanita negara, Datuk Tey Seu Bock.

Jin Wei yang sedikit terkejut apabila menyedari laluan sukar menanti skuad negara untuk ke pusingan akhir Piala Uber, tetap optimis serta berpandangan mereka masih memiliki peluang untuk mencipta keajaiban.

"Jika gagal beraksi dalam Piala Uber, mustahil jika tidak sedih, tetapi beraksi di laman sendiri akan melonjakkan semangat kami," tambahnya..