Kejayaan menjulang gelaran juara remaja dunia melonjakkan semangat pemain muda, Goh Jin Wei, yang bukan sahaja mengidam untuk layak buat kali pertama ke Olimpik Tokyo 2020, malah hadir sebagai pemain yang perlu diberi perhatian.

Jin Wei tiba di tanah air hari ini dengan membawa pulang gelaran juara dunia yang kali terakhir dimenanginya tiga tahun lalu dalam edisi 2015 di Lima, Peru.

Ia kejayaan keduanya untuk tahun ini selepas membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina, bulan lalu.

Jin Wei menjelaskan pendedahan beraksi dalam kejohanan kompetitif di peringkat senior sepanjang tahun ini seperti aksi Seluruh England dan Kejohanan Dunia telah membantunya meningkatkan tahap permainan.

Justeru, dia bukan sahaja mahu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, malah mahu memastikan kehadirannya sebagai pencabar utama.

"Segalanya mungkin dan saya tidak boleh menunggu masa yang lama untuk terus menyerlah.

"Ini masanya untuk saya membuktikan kebolehan di pentas tertinggi itu," kata Jin Wei.

Walaupun baru sahaja tiba di Kuala Lumpur, Jin Wei mempunyai tempoh singkat untuk bersiap bagi menghadapi Kejohanan Masters Korea Selatan yang akan bermula 27 November ini, sekali gus bakal menjadi penutup kalendarnya untuk tahun 2018.

"Saya mempunyai waktu rehat selama dua hari dan selepas itu saya perlu kembali berlatih.

"Saya perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi Masters Korea dengan keadaan fizikal yang baik setakat ini," tambahnya.

Sementara itu, Malaysia turut berbangga dengan pencapaian beregu wanita, Pearly Tan dan Toh Ee Wai, yang muncul naib juara dalam kejohanan sama.

Kali terakhir skuad beregu wanita berjaya meraih pingat dalam Kejohanan Remaja Dunia adalah pada 2012 menerusi Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Pearly dan Ee Wai, kini dalam radar ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, untuk diserap ke dalam skuad senior.

Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada gandingan mereka akan dikekalkan atau sebaliknya.

"Ia bergantung kepada jurulatih, namun kami berharap untuk dikekalkan selepas sekian lama beraksi bersama," kata Pearly.

"Kami sudah kenali corak permainan masing-masing.

"Dengan itu, saya berharap gandingan kami akan dikekalkan," kata Ee Wai.