Pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, dijangka menerima ganjaran mencecah ratusan ribu ringgit hasil kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan, Selasa depan.

Skim Hadiah Kemenangan Atlit Remaja (SHAKAR) hanya membabitkan Kejohanan Remaja Dunia.

Berdasarkan SHAKAR, Jin Wei bakal meraih RM10,000.

Namun, kejayaan meraih pingat emas Olimpik Remaja di Argentina tidak termasuk dalam SHAKAR.

Justeru, BAM akan menentukan jumlah ganjaran yang sepatutnya diraih pemain berusia 18 tahun itu.

"Kami mempunyai ganjaran tersendiri bagi pemenang pingat emas dan perak bagi peringkat remaja dunia.

"Sekiranya terdapat sebarang pertambahan, kami akan melakukan perubahan.

"Kami juga perlu mempertimbangkan kejayaan Jin Wei dalam Sukan Olimpik Remaja tahun ini," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

BAM juga bersetuju Jin Wei akan mencabar tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun dalam usia yang muda.