Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, sah bakal melebarkan sayap ke Jepun bermula Januari nanti sebaik tugasnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berakhir esok.

"Pihak di Jepun telah pun membuat pengumuman pada minggu lepas. Memang benar saya akan memulakan tugas di sana," ujar bekas pemain kebangsaan itu yang telah bersama BAM sejak 2003.

Selepas 15 tahun, dia bakal memulakan angin baru dan mengambil kesempatan ini untuk memberikan penghargaan kepada badan induk itu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana memberi ruang buat saya selama 15 tahun sehingga menjadikan saya seorang jurulatih yang bagus.

"Pemain yang bekerjasama dengan saya juga bagus. Berat hati saya untuk meninggalkan BAM.

"Semoga mereka berjaya dan saya berharap pemain-pemain Malaysia mencapai keputusan yang baik pada masa hadapan," katanya yang pernah membawa beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, meraih pingat perak Sukan Olimpik 2016.