Skuad beregu lelaki badminton negara terus dilanda kemelut apabila jurulatihnya, Jeremy Gan, pula menghantar surat peletakan jawatan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Hasrat Jeremy untuk meletak jawatan disahkan Majlis BAM yang bermesyuarat di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Begitupun, belum ada sebarang keputusan dilakukan badan induk berkenaan berhubung situasi itu.

Ini kerana Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, ingin memberikan peluang kepada jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit, untuk membuat perancangan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Reaksi awal daripada BAM, bagaimanapun, memberi bayangan mereka sudah menjangkakan keputusan Jeremy selepas disunting oleh beberapa negara lain.

"Jeremy sudah menghantar notis tiga bulan. Kami mahu Cheah Soon Kit membentangkan perancangannya terlebih dahulu.

"Jeremy mempunyai alasannya yang tersendiri, ia sebahagian daripada transformasi BAM.

"Pada akhirnya, institusi ini adalah lebih besar daripada individu," ujar Norza.

Berita terbaru itu pastinya mengundang pelbagai persoalan mengenai masa depan beregu lelaki negara dengan sumbangan terbesar Jeremy adalah ketika membawa Goh V Shem-Tan Wee Kiong meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio 2016.