Jeremy dedah perbezaan badminton Malaysia-Jepun

Oleh Shaiful Shamsudin 5 Jun 2020 8894
 Jeremy dedah perbezaan badminton Malaysia-Jepun
Bekas jurulatih negara, Jeremy Gan, yang kini mengendali skuad beregu di Jepun berkongsi pengalamannya berkelana di luar negara bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

Ketika badminton Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan struktur kejurulatihan baru, tiga jurulatih Malaysia di Jepun termasuk Jeremy bakal kembali fokus kepada Sukan Olimpik Tokyo 2021.

Selepas dua tahun setengah di sana, dia berkongsi pandangan mengapa persekitaran politik membabitkan skuad kebangsaan di sana tidak seagresif Malaysia.

"Mereka boleh diajak berbincang tetapi apabila membabitkan memuktamadkan keputusan, mereka lebih jelas tetapi di Malaysia, apabila kami mahu melakukannya ia membabitkan terlalu banyak pengaruh (luar). 

"Sebaliknya, Jepun lebih mudah dan baik," katanya. 

Sentuhannya begitu hampir mencipta sejarah dalam Sukan Olimpik Rio 2016 apabila menjadi arkitek utama kepada kempen menakjubkan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, serta beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang layak ke final.

Bagaimanapun, di negara Matahari Terbit itu, dia dapat mengenal pasti apa perbezaan yang memisahkan kemampuan anak buahnya, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam misi merampas pingat emas di laman sendiri berbanding pemain Malaysia.

"Usaha pemain membezakannya. Usaha pemain Jepun lebih tinggi berbanding pemain Malaysia," tambahnya. 

Sementara itu, dalam misi mendalami sentuhan jurulatih baru, Chan Chong Ming, pemain beregu wanita negara, Chow Mei Kuan, berharap kehadirannya dapat mengeluarkan dia dan gandingannya daripada dibelenggu prestasi. 

Dia mengakui memerlukan masa untuk menyesuaikan norma baru dalam situasi COVID-19, tetapi ia dianggap bakal menjadi kelebihan. 

"Kami pernah menyaksikan jurulatih ketika bergelar pemain tetapi belum berkesempatan di bawah kendaliannya.

"Kami belum tahu situasinya lagi, mungkin ia akan menawarkan kelebihan kerana dia boleh mengetengahkan sesuatu yang berbeza," katanya kepada wakil Nadi Arena, Haliza Hamzah. 

Dalam pada itu, pemain senior, Vivian Hoo, turut berkongsi pengalaman kembali berlatih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

"Saya teruja dapat bermain badminton memandangkan sudah lama tidak dapat pegang raket. 

"Pada awalnya saya berasa agak kekok tetapi ia semakin bagus dalam tempoh beberapa hari ini. 

"Oleh kerana kejohanan lambat lagi akan dianjurkan, jadi saya berharap kami sempat meraih sesuatu (dalam latihan)," katanya pula. 

Sementara itu, semua atlet yang terlibat dalam kem latihan Road to Tokyo (RTT) fasa satu menjalani ujian saringan COVID-19 kedua hari ini.

Ia turut membabitkan jurulatih, pegawai sukan, pegawai perubatan dan pegawai sokongan di Akademi Badminton Negara (ABM), Bukit Kiara, dan Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi.

Keputusan bagi ujian kedua ini akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi manakala ujian ketiga akan dijalankan Sabtu depan yang berjarak tujuh hari.


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen