Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan kempen Kumpulan B dengan langkah kanan menewaskan pasangan Korea Choi Sol-gyu-Seo Seung-jae saingan Jelajah Dunia Akhir 2020.

Pilihan kedua dari Malaysia itu tidak perlu mandi peluh sangat dalam catat kemenangan dua set 21-14, 21-19 dalam tempoh 38 minit.

Set pertama, dominasi penuh pasangan Malaysia yang mendahului set pertama dengan setiasa di hadapan hingga membuka jurang mata besar 17-7.

Kombinasi aksi agresif dan permainan jaring yang baik menyaksikan Aaron-Wooi Yik, hanya menyerahkan tujuh mata saja lagi sebelum menamatkan set pertama 21-14.

Di set kedua, skripnya sedikit berbeza dengan Sol-gyu-Seung-jae beraksi lebih baik dan sentiasa mengasak pasangan Malaysia itu.

Jurang mata pula tidak besar dengan empat sama kemudan lapan sama sebelum Aaron-Wooi Yik mendahului sehingga kedudukan 19-16.

Namun pasangan Malaysia itu berdepan pengakhiran yang mendebarkan selepas gandingan Korea itu menyamakan kedudukan 19-19 sebelum Aaron-Wooi Yik, kembali tenang dan menamatkan permainan untuk mengutip dua mata akhir bagi keputusan 21-19.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melakar kekalahan yang tewas dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A.

Pasangan Malaysia itu tewas dalam pertarungan sengit kepada pilihan pertama dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin 21-18, 24-22 dalam tempoh 40 minit.

Yew Sin-Ee Yi bermain agresif dalam set pertama dan satu ketika mendahului 9-5 sebelum beregu Taiwan itu menyamakan kedudukan dan kemudian mendahului 12-11.

Wakil negara itu kembali menyamakan kedudukan 13-13tetapi selepas itu tampil aksi goyah untuk membolehkan pasangan Taiwan itu menang 21-18.

Skrip yang sama dalam set kedua apabila menyaksikan perlawanan diheret hingga kedudukan 20-20 sebelum wakil Taiwan itu menoktahkan kemenangan 24-22.
Imej: Twitter BAM