Jelajah Dunia: Aaron-Wooi Yik akhirnya menang

Oleh Penulis Jemputan 13 Disember 2019 21126
Jelajah Dunia: Aaron-Wooi Yik akhirnya menang
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akhirnya meraih kemenangan dalam saingan peringkat Kumpulan B, Kejohanan Badminton Final Jelajah Dunia BWF apabila menumbangkan beregu Taiwan, Lu Chingyao-Yang Pohan, di Guangzhao, China hari ini.

Selepas meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina minggu lalu, pasangan negara itu memulakan kempen di Guangzhou itu dengan dua kekalahan, sekali gus memusnahkan harapan mereka untuk ke separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik tewas kepada gandingan senior Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, dalam perlawanan pertama sebelum tumbang kepada satu lagi pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chilin, dalam perlawanan berikutnya.

Menyedari harapan untuk ke separuh akhir sudahpun musnah, beregu negara itu tetap bersemangat untuk sekurang-kurangnya menamatkan kempen itu dengan kemenangan dan prestasi baik ditunjukkan naib juara Kejohanan Seluruh England itu apabila memenangi set pertama 21-17.

Rentak itu, bagaimanapun, tidak bertahan lama apabila Chingyao-Pohan memaparkan aksi lebih kemas untuk memenangi set kedua 21-19.

Dalam set penentuan, Aaron-Wooi Yik memaparkan keazaman tinggi untuk menamatkan saingan itu dengan kemenangan 21-19.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen