Pengarah kejurulatihan skuad badminton negara, Wong Choong Hann, tidak akan berupaya mengubah nasib skuad kebangsaan dalam aspirasi memenangi emas Sukan Olimpik jika pemain senior sendiri tidak berhasrat keluar daripada kemerosotan prestasi.

Bekas pengarah prestasi tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, berpendapat Choong Hann berdepan tugas sukar dalam mengenal pasti siapa calon bagi memenuhi aspirasi di Tokyo 2020.

Sasaran awal BAM adalah untuk memastikan dua wakil daripada setiap lima kategori layak ke Jepun.

"Ia lebih bagus jika kami memiliki dua wakil yang layak ke Olimpik. Jika tidak, sekurang-kurangnye perlu satu tetapi jangan sampai tiada langsung.

"Dalam setiap kategori, iaitu perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran, semestinya sangat bagus jika melihat dua wakil daripada setiap satunya," kata James.

Seperti yang sudah diramal, Malaysia sukar keluar daripada bayangan Datuk Lee Chong Wei yang belum tentu kembali ke gelanggang secara kompetitif selepas mengatasi belenggu penyakit kanser.

Senior daripada kalangan wakil Olimpik seperti beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, terus buntu dalam mencabar kejuaraan musim ini sementara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tidak konsisten.

"Malaysia tewas di peringkat pusingan pertama atau kedua dan ia tidak baik. Kita harus melepasi suku akhir, separuh akhir dan seterusnya ke final. Jadi, saya berharap pemain negara menyimpan mentaliti baru menuju 2019 dengan menanamkan perasaan mahu bergelar juara," tambah James.