Kegagalan kudrat muda di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghadirkan gelaran di pentas terbuka musim ini bermakna mereka masih jauh dalam pengembaraan meneruskan legasi Datuk Lee Chong Wei.

Selepas sekian lama, pemain dalam kem kebangsaan bakal menutup kempen 2019 tanpa gelaran di pentas bertaraf elit.

Lapan kejohanan terbuka diklasifikasikan sebagai kejuaraan utama dunia yang terbahagi kepada tiga siri bertaraf 1000 dan lima siri 750.

Sebelum format jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu diperkenalkan pada 2018, Malaysia menerusi Chong Wei konsisten mendominasi saingan Siri Super.

Pencapaian terbaik daripada kem kebangsaan musim ini adalah menerusi penampilan final Kejohanan Seluruh England yang bertaraf Super 1000, Mac lalu, oleh gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sementara itu, hasrat perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, untuk memecah masuk dalam kelompok 10 terbaik dunia sebelum hujung tahun ini makin samar selepas dia sendiri mengalami prestasi turun naik selain terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hong Kong minggu depan atas faktor kesihatan.

Aaron-Wooi Yik pula kini di kedudukan ke-14 bagi musim 2019 setelah muncul naib juara Seluruh England di samping layak ke separuh akhir beberapa kejohanan, antaranya Terbuka China, Masters Malaysia dan lima pentas suku akhir.

"Ini sebenarnya satu amaran," kata bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj

"Kalau mereka tidak memenangi sebarang gelaran seperti zaman Datuk Lee Chong Wei, kini tiada sesiapapun yang mampu menggalas tugas yang telah ditinggalkan.

"Lee Zii Jia pula kelihatan mampu meneruskan rentak itu tetapi sebaliknya.

"Sementara itu, beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik, yang diletakkan harapan selepas cemerlang dalam Kejohanan Seluruh Dunia tidak tekal dalam permainan mereka.

"Mereka sentiasa menuntut masa tetapi bilakah masanya. Masa tidak akan menanti sesiapa pun," katanya lagi.