"Yap Kim Hock calon terbaik." Demikian cadangan legenda beregu badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek, yang tidak berminat dengan kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad beregu lelaki, sebaliknya menawarkan diri untuk posisi lain dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jalani adalah antara individu yang turut dikaitkan untuk mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Jeremy Gan.

Namun, bagi Jalani, dia tidak berminat dengan jawatan itu dan lebih teruja untuk membantu sebagai seorang penganalisis dalam BAM bagi mengkaji prestasi dan persembahan barisan pemain secara keseluruhan.

Ketika ini, dia sering berkunjung ke Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara untuk memberi nasihat dan pandangan kepada jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, dan jurulatih beregu, Cheah Soon Kit.

"Saya selesa dengan apa yang dilakukan ketika ini.

"Saya juga membantu 'Datuk Bun' untuk penyusunan program-program yang diaturkannya. Dia bukan muda lagi, saya sudah bersama dengannya sudah lama dan dari situ, saya menyalurkan idea-idea penambahbaikan untuk perseorangan dan kadang-kadang untuk beregu negara," ujarnya.


Jalani juga menjelaskan Kim Hock adalah calon paling sesuai untuk mengisi jawatan pembantu jurulatih beregu lelaki berbanding individu lain berdasarkan komitmennya kini yang masih lagi bergiat aktif dalam melatih pasukan, khususnya Kelab Badminton Petaling dalam saingan Purple League.

"Yap Kim Hock seorang yang senang untuk bekerjasama dan sanggup bertungkus-lumus untuk badminton.

"Ketika ini pun, dia bersama akademi, jadi tidak salah untuk ajak dia kembali demi kebaikan sukan badminton negara," katanya.