Institut Sukan Negara (ISN) merancang untuk membuka pusat satelit khas di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara Ogos ini demi menyokong usaha memperkasakan skuad negara.

ISN masih dalam perbincangan terperinci untuk mencapai kata sepakat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan ABM bagi segi penstrukturan dan lain-lain.

Ini adalah initiatif ISN dalam usaha memburu pingat Sukan Olimpik Tokyo 2021 selain melahirkan pemain berkaliber bermula daripada peringkat akar umbi.

"Status sukan badminton sebagai salah satu sukan utama negara menjadi motivasi buat kami dapat membantu meningkatkan lagi ekosistem sukan badminton di negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.

"Kami berharap perbincangan yang dilakukan dapat berjalan dengan lancar. Elemen akar umbi adalah keutamaan bagi kami."

Selain MSN, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang merupakan kemuncak kepada landasan pembangunan bola sepak bagi bakat muda adalah antara venue yang mendapat perkhidmatan sains sukan daripada ISN.