Pemain badminton perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sudah mula merangka beberapa perancangan sendiri apabila bergelar pemain profesional Januari ini.

Iskandar antara pemain yang mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malasyia (BAM) selepas 15 tahun bersama skuad kebangsaan.

Kini, cabaran buat dirinya adalah untuk mengatur perancangan sendiri di samping mendapatkan penaja bagi mengharungi pertandingan tahun depan.

Antara kejohanan dalam tumpuannya ialah Masters Malaysia serta Indonesia yang dijadualkan Januari ini.

Sudah pasti antara misi utama buat pemain berusia 27 tahun itu adalah untuk melonjakkan kembali kedudukan ranking dunianya.

"Menjelang Januari, saya telah menghantar nama untuk Terbuka Malaysia dan Indonesia, cuma masih belum layak. Saya harap dalam masa enam bulan membolehkan saya menaikkan ranking untuk menyertai kejohanan yang lebih besar," katanya.

Sementara itu, saingan Purple League musim 2018/2019 mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Iskandar dalam mengekalkan tahap kecergasan yang diperlukan bagi mengharungi kempen 2019.

Pemain yang mewakili Petaling BC itu juga menganggap permulaan baru sebagai pemain profesional dapat membantunya mencari rentak permainan yang lebih baik.

"Susah memang susah tetapi saya perlu lebih teliti dalam semua perkara. Sebenarnya, saya ingin memperbaiki karier dan diharapkan Purple League mampu mengembalikan semangat saya untuk terus berjuang."