Bekas pemain dan jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, berpandangan Iskandar Zulkarnain perlu mempelbagaikan corak permainan andai mahu mencapai kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa.

Ketandusan bahagian perseorangan negara ketika ini amat ketara, terutama dengan Datuk Lee Chong wei semakin di penghujung karier.

Lantas, ini menjadi peluang terbaik buat Iskandar untuk membuktikan dia mempunyai potensi yang diharapkan.

Antara persembahan cemerlang yang dicatat pemain berusia 25 tahun itu, termasuk mara ke separuh akhir Terbuka China baru-baru ini, sebelum tumpas kepada pemain Denmark, Jan O Jorgensen.

Namun, Misbun berasakan Iskandar masih terikat dengan corak permainan yang terhad dan itu menjadi halangan utama yang perlu diatasi.

"Sekarang ini bagaimana untuk membina bakat yang dia miliki? Ketika ini, dia menggunakan teknik yang sama untuk menghadapi kesemua pencabar, itu tidak boleh.

"Sepatutnya hanya satu teknik khas untuk seorang pencabar, contohnya menerapkan satu strategi untuk berdepan Chen Long, tetapi dia tidak boleh menggunakan strategi sama untuk berdepan lawan lain, kerana itulah ada kemungkinan dia tewas," jelasnya.

Sementara itu, Misbun turut berpandangan belum ada keperluan buat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk menukar format mata sedia ada.

Badan induk itu dalam proses cadangan untuk menukar sistem 21 mata yang diperkenalkan pada 2006 kepada 11 mata dan usul ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan di Melbourne pada Mei 2017.

"Sebelum ini, ketika Chong Wei bersama saya, jarang saya mengenakan 21 mata di dalam latihan, kesemuanya 11 mata.

"Jika menggunakan 11 mata, perlawanan lebih pendek tetapi ia akan mengubah corak latihan kerana ia menyentuh aspek naluri, kelajuan dan taktikal, jadi ini akan menyusahkan pemain negara," tambahnya.