Perseorangan badminton negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, memohon maaf kepada ketua jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, kerana tidak berbincang terlebih dahulu sebelum menyuarakan hasrat untuk keluar daripada skuad kebangsaan.

Selepas 15 tahun bersama skuad negara, Iskandar mengambil keputusan mengundurkan diri bagi mencari peluang lain.

Bagaimanapun, dia hanya mengadakan perjumpaan dengan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, bagi menyatakan hasratnya itu.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan kekecewaan Misbun yang hanya mengetahui tindakan Iskandar itu menerusi perkongsian dalam media sosial.

Sesi latihan pagi tadi menyaksikan Iskandar memberikan penjelasan lanjut kepada Misbun tentang perancangannya selepas ini.

"Saya sudah meminta maaf kepadanya.

"Ia bukan keputusan yang mudah memandangkan saya sudah menganggapnya sebagai bapa saya sendiri.

"Saya tidak mahu mempunyai sebarang perselisihan faham dengannya," kata Iskandar.

Dalam pada itu, Misbun tetap akan memberikan bantuan serta sokongan kepada Iskandar andai itu yang diperlukan pemain berkenaan, namun menjelaskan perlu ada perubahan sikap dalam diri pemain itu.

Dia antara individu yang banyak membantu Iskandar ketika pemain berusia 27 tahun itu dilanda beberapa kontroversi sebelum ini.

"Ia bergantung kepada pendirian, keperibadian dan perasaan Iskandar itu sendiri.

"Dia perlu tahu apa yang diinginkannya.

"Apa yang penting adalah dia perlu mengekalkan disiplin dalam sukan ini," katanya.