Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, berdepan misi hidup mati dalam usaha menyelamatkan kerjaya sebagai perseorangan badminton kebangsaan.

Gagal mendapatkan slot ke dalam skuad Piala Thomas, Mei lalu, ekoran digantung kerana terbabit dalam skandal disiplin sehinggalah kembali beraksi dalam dua Kejohanan Masters Indonesia dan Terbuka Korea yang menyaksikan dia tersingkir di peringkat kelayakan.

Keputusan itu menyaksikan dia diarah menarik diri daripada sebarang kejohanan sehinggalah hujung bulan ini.

Terbuka Macau disifatkan sebagai peluang terakhir Iskandar untuk kekal relevan sebagai pemain senior dalam skuad kebangsaan.

"Dalam masa empat bulan, saya hanya terlibat dalam latihan dan ia telah melunturkan tahap keyakinan saya. Saya berharap beraksi dalam Terbuka Macau dapat membuahkan hasil," kata Iskandar.

"Saya menyasarkan gelaran di sana tetapi lebih memilih untuk memberikan tumpuan kepada persembahan dan sasaran ke separuh akhir adalah lebih relevan."