Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggap hukuman penggantungan 20 dan 15 tahun terhadap Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang adalah wajar dan lebih baik berbanding hukuman gantung seumur hidup yang sememangnya termaktub dalam peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menyifatkan karier kedua-dua pemain profesional negara itu masih belum tamat sepenuhnya apabila BWF tidak memberi pergantungan seumur hidup, sebaliknya 20 tahun dikenakan kepada Zulfadli dan 15 tahun buat Chun Seang.

Namun, mereka perlu memutuskan untuk melakukan rayuan atau tidak dalam tempoh 21 hari dan harus membayar denda yang dikenakan terlebih dahulu.

BAM turut terbuka untuk membantu dua pemain tersebut sekiranya mereka hadir untuk meminta sebarang pandangan atau nasihat.

"Daripada segi kesalahan yang telah mereka buat, keputusan adalah berpatutan kerana saya rasa BWF sebenarnya boleh menaikkan hukuman kepada seumur hidup tetapi mereka membuat keputusan seperti yang diumumkan.

"Daripada segi bantuan yang diperlukan pemain-pemain, mereka boleh mengemukakan kepada kami dan kami akan cuba melihat perkara itu," kata Norza.

Selain itu, BAM juga telah mengemukakan laporan berhubung kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik sahaja keputusan dikeluarkan oleh BWF untuk mereka membuat penilaian seterusnya.

"Pagi tadi, saya telah berhubung dengan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, untuk memberitahunya tentang keputusan ini yang terdiri daripada 65 muka surat. Kesemuanya akan dihantar kepada SPRM untuk mereka melihat keputusan tersebut," tambahnya.