Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, resah menanti pengesahan kelayakan Datuk Lee Chong Wei ke pentas Siri Super Final di Dubai dengan lampu hijau lebih awal daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan memudahkan tugas untuk pemain itu menyasarkan kejuaraan.

Hanya lapan pemain terbaik daripada ranking saingan Siri Super layak beraksi di Dubai dengan kedudukan terkini menyaksikan Chong Wei mengisi slot terakhir.

Denmark memiliki tiga wakil dalam senarai itu, namun hanya dua pemain yang dibenarkan dari sebuah negara untuk beraksi dalam saingan penutup tirai musim 2016 itu.

Ini bermakna sekalipun Chen Long menerima jemputan tiket 'wildcard' selaku pemenang pingat emas Olimpik, kedudukan Chong Wei dalam kalangan lapan terbaik itu tidak terjejas.

"Ini yang susah kerana Datuk Lee Chong Wei tergolong dalam pemain yang memiliki karektor yang mana apa sahaja kejohanan disertainya, dia sasar untuk menang.

"Saya rasa jika Chong Wei sertainya, dia akan cuba muncul juara," ujar Hendrawan.

Chong Wei ketika ini dilihat masih belum cergas sepenuhnya di samping perlu kembali mencari rentak dalam gelanggang susulan penarikan diri daripada tiga kejohanan Siri Super -- Perancis, China dan Hong Kong.

Hendrawan, bagaimanapun, memberi jaminan apabila penyertaan Chong Wei ke Dubai disahkan, anak buahnya itu tidak akan sekadar mengisi kuota.

"Keadaannya masih belum mencapai 100 peratus ketika ini tetapi masih ada 10 hari sebelum keputusan dibuat tetapi jika kedudukannya dapat diputuskan lebih awal, ia lebih baik kerana kami dapat membuat persiapan lebih awal," tambahnya.

Ketika ini, hanya beregu lelaki utama negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, yang memiliki keselesaan slot di Dubai susulan menduduki ranking no.1 dunia.