Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, memberi kata dua buat sebahagian besar pemain muda dalam kem negara yang gagal mempamer aksi cemerlang dalam Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, yang berakhir semalam.

Selain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, empat wakil negara yang lain pulang awal apabila disingkirkan lawan masing-masing dalam pusingan kelayakan.

Paling mengecewakan, Soo Teck Zhi dan Chong Yee Han gagal mempamer aksi yang seharusnya mereka tampilkan sesudah mereka diserap masuk ke dalam skuad projek khas.

Amaran Hendrawan bukan sahaja tertumpu kepada dua pemain itu, malah perseorangan lain yang berada dalam kem negara ketika ini harus bersedia untuk disingkirkan jika masih gagal mencapai sasaran ditetapkan.

"Kami akan lihat empat pemain ini. Kalau tidak bersedia, kami akan tukar dengan kumpulan pemain bawahan, yang mempunyai prospek lebih bagus."

Yee Han tewas kepada pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin, dan Teck Zhi tumpas di tangan seorang lagi pemain negara, Liew Daren, dalam pusingan kelayakan.

Dua lagi pemain negara yang turut gagal melepasi peringkat itu adalah Tan Chun Seang dan June Wei Cheam.

Dalam pada itu, Hendrawan memberi harapan positif terhadap perkembangan kesihatan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang sebelum ini dilapor mengalami kecederaan belakang yang serius.

Jelas Hendrawan, Iskandar sudah kembali menjalani latihan bersama skuad negara tetapi masih perlu perancangan teliti dan masa yang mencukupi bagi mempersiapkannya menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos depan.

"Sekarang dia cakap keadaannya sudah baik tetapi kami perlukan masa untuk persiapkannya. Saya pasti Iskandar akan bersedia untuk Sukan SEA nanti tetapi untuk Piala Sudirman masih 50-50."