Juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim, terpaksa menerima realiti pahit bahawa waktu dia di gelanggang kompetitif sudah sampai ke penghujungnya.

Kejuaraan Seluruh England itu meletakkan Hafiz selaku antara perseorangan lelaki terbaik pernah dimiliki Malaysia.

Pingat Sukan Komanwel 2002 di Manchester juga sebahagian daripada koleksi jaguh kelahiran Kota Bharu, Kelantan, itu.

Malah, dia merupakan anggota skuad yang hampir menamatkan penantian juara Piala Thomas 2002.

Pengembaraan penghujung karier Hafiz diwarnai dalam saingan beregu lelaki dengan kejohanan terakhir bersama Razif Abdul Latif adalah dalam Kejohanan Masters China, April lalu.

"Kalau diikutkan, saya sememangnya sudah tidak bermain dalam acara perseorangan. Ia keputusan yang sukar dan selepas menjalani pembedahan kaki, sukar untuk saya kembali (kepada prestasi asal).

"Sebab itulah, saya tetap cuba bermain dalam beregu. Namun, dengan kekangan sesi latihan serta faktor umur, saya memutuskan untuk menjadi jurulatih sepenuh masa," katanya.

Hafiz, bagaimanapun, tidak akan meninggalkan dunia badminton dengan begitu sahaja apabila bakal menterjemahkan pengalamannya dalam bidang kejurulatihan.

Perkembangan semasa menyaksikan dia dalam perbincangan fasa akhir untuk diserapkan membantu program remaja kebangsaan.

"Saya sudah ditemuduga di Bukit Jalil dan sedang mempertimbangkannya. Saya akan berbincang dengan ketua jurulatihnya, Kwan Yoke Meng, dan bertemu pihak atasan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum membuat keputusan," katanya.