Bekas juara Seluruh England, Hafiz Hashim, mempunyai tanggungjawab besar apabila bakal memulakan tugas sebagai jurulatih skuad remaja negara Januari ini.

Hafiz, yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 2 Januari, berpandangan bahawa juara remaja dunia akan terhasil apabila ada persaingan yang berkualiti dalam skuad B-17 tahun.

Pendekatan ini akan memanfaatkan skuad kebangsaan secara kesuluruhan dengan pemain remaja yang diserapkan ke barisan senior memiliki kredibiliti untuk beraksi di pentas tertinggi dunia.

"Pemain-pemain muda memang ramai tetapi kami akan meneliti mereka yang berpotensi untuk menjadi juara remaja dunia sementara mampu diserapkan ke dalam skuad negara," katanya.

Meskipun memiliki status sebagai antara yang terbaik pernah dilahirkan Malaysia, Hafiz tetap teruja untuk memulakan kerjaya sebagai jurulatih bersama skuad remaja.

Bekas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2002 ini turut berkongsi falsafah kejurulatihan yang akan diterapkannya nanti.

"Disiplin menjadi keutamaan dan banyak ilmu yang harus diraih oleh setiap pemain muda untuk meningkat naik," katanya lagi.