Perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi, menantikan cabaran sengit di sebalik kemahuan untuk mempertahankan gelaran sebagai juara kebangsaan.

Di pentas antarabangsa sepanjang musim ini, Jing Yi bergelut dengan prestasi sendiri tetapi berpeluang untuk menebus kehampaan dalam saingan Grand Prix (GP) Akhir Sirkit Kebangsaan.

Musim lalu menyaksikan Jing Yi mengetepikan bintang remaja negara, Goh Jin Wei, dengan 'straight set' untuk memenangi gelaran kebangsaan buat kali keempat.

Dua saingan sirkit kebangsaan musim ini, bagaimanapun, berpihak kepada Jin Wei yang unggul ke atas Jing Yi selepas dia menarik diri dalam final, Mei lalu.

Malah, dalam sirkit kedua di Kedah, Ogos lalu, Jin Wei mengekalkan status sebagai perseorangan wanita terbaik kebangsaan tahun ini selepas menewaskan Ho Yen Mei.

“Saingan semakin sengit apabila menyaksikan lebih ramai pemain muda yang semakin meningkat. Saya berharap untuk mempertahankan gelaran saya,” kata Jing Yi.

Buat sementara waktu, Jing Yi akan mengelak Jin Wei dalam saingan 'round robin' apabila saingan GP Akhir Sirkit Kebangsaan membuka tirai di Stadium Juara Bukit Kiara, esok.

Bagaimanapun, kehadiran Yen Mei dan Lim Yin Fun dalam kumpulan Jing Yi, akan berupaya menawarkan juara bertahan itu cabaran sengit.

“Saya menjangkakan saingan yang sengit kerana kami saling mengenali gaya permainan masing-masing. Saya berharap untuk bermain dengan lebih baik berbanding tahun lalu," tambah Jing Yi.