Cheah Liek Hou pulang daripada Kejohanan Badminton Para Dunia sekali lagi sebagai juara tetapi menegaskan gelaran itu dikongsi seluruh skuad negara dan permulaan kepada pencapaian lebih besar.

Liek Hou memenangi gelaran dunia keenamnya dalam kategori perseorangan SU5 selepas menewaskan musuh tradisinya daripada Indonesia, Suryo Nugroho, di Ulsan, Korea Selatan, semalam.

Pertemuan itu ibarat final Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur, September lalu, dengan bezanya pemain negara itu dipaksa bekerja lebih keras untuk menang dalam aksi tiga set.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu terkilan tidak berupaya mempertahankan gelaran dalam acara beregu bersama gandingannya, Hairol Fozi Saaba.

"Tahun ini agak mengecewakan kerana saya tidak dapat mempertahankan kejuaraan dalam beregu.

"Tetapi saya masih boleh berbangga kerana masih boleh menang dalam acara perseorangan," katanya.

Turut menyumbang pingat buat kontinjen negara kali ini adalah tonggak skuad, Madzlan Saibon, yang meraih gangsa dalam kategori perseorangan berkerusi roda WH2 dan juga gangsa menerusi Bakri Omar dalam perseorangan SI4.

Bagi Liek Hou, kejayaan mereka hanya permulaan untuk misi lebih besar dalam Sukan Para Asia 2018 dan seterusnya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Saya harap kemenangan dalam Kejohanan Dunia ini dapat memberi motivasi kepada pasukan, termasuk pemain remaja.

"Diharapkan mereka lebih fokus dalam pertandingan tahun depan," tambahnya.