Frost enggan dedah punca tinggalkan BAM

Oleh Penulis Jemputan 19 September 2017 117
Frost enggan dedah punca tinggalkan BAM
Di atas dasar mahu meninggalkan skuad negara dengan cara baik, Morten Frost enggan mendedahkan isu peribadi yang mendorongnya meletakkan jawatan sebagai pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Isu peribadi yang menjadi spekulasi kepada peletakan jawatan Frost berkait dengan perselisihan fahamnya dengan Datuk Lee Chong Wei pada Februari lalu.

Punca keputusan itu dibuat juga berkemungkinan daripada kepulangan Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulath perseorangan lelaki pada Julai lalu, ditambah dengan syarat Misbun hanya melapor terus kepada Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Malah, Frost menegaskan dia langsung tidak tergugat dengan prestasi tidak memberangsangkan skuad negara sepanjang musim ini.

"Ia adalah sesuatu yang anda tidak akan ambil mudah. Sudah tentu tidak. Seperti yang saya katakan isu peribadi baru-baru ini, ia kekal peribadi. 

"Saya tidak fikir kita kekurangan keputusan. Ya, kita terlepas beberapa perkara seperti Piala Sudirman dan Sukan SEA. Dalam sukan ada turun naik, keputusan baik dan buruk," katanya.

BAM semalam membuat kejutan apabila mengumumkan peletakan jawatan Frost.

Perkara itu diumumkan Norza selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Menurut Norza, jurulatih berusia 59 tahun dari Denmark itu menyerahkan surat peletakan jawatan pada 11 September lalu.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen