Skuad badminton negara kini berdepan cabaran baru selepas perancang utama kejayaan dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Morten Frost, mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan, Isnin lalu.

Selepas kehilangan Goh Liu Ying akibat kecederaan panjang, kem badminton negara menerima tamparan hebat apabila gandingan utama lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, dipisahkan ekoran prestasi yang merudum.

Kini, selepas dilantik menjadi pengarah teknikal negara pada tahun 2015, Frost memberi kejutan dengan mengumumkan peletakan jawatan pada 18 September lalu.

"2016 adalah tahun yang terbaik dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan saya berasa amat bangga menjadi sebahagian daripada persatuan pada waktu itu.

"Sejak saya mula-mula tiba setahun sebelum itu, saya dapat lihat kami berkembang dengan baik, berjaya memperbaiki carta dunia dan meraih keputusan yang bagus.

"Pada tahun lalu, kami berjaya mendapatkan status pemain nombor satu menerusi acara beregu dan perseorangan serta menduduki tangga ketiga dunia bagi kategori beregu campuran dan bagi saya, itu amat bagus.

"Ini adalah proses dan ia memerlukan masa. Saya akui kami terlepas beberapa kejayaan pada tahun ini tetapi itu adalah lumrah dalam dunia sukan," katanya.

Ketika ditemui, riak wajah Frost menunjukkan berat baginya untuk membuat keputusan tersebut dan dia sendiri mengakui keadaan di Malaysia pasti tidak akan dilupakan.

"Saya akan rindukan keadaan di sini. Ya, saya merupakan ketua tetapi kami memahami antara satu sama lain dan bekerjasama dengan baik. Sebenarnya, saya cintakan Malaysia."