Pemain perseorangan lelaki remaja negara, Sim Fong Hau dan Leong Jun Hao, menganggap ranking bukanlah penentu utama untuk mereka beraksi cemerlang dalam Kejohanan Remaja Dunia di Sepanyol, bulan depan.

Sedar tugas berat yang digalas oleh jurulatih, Indra Wijaya, dalam memastikan mereka berada di tahap sama dengan Lee Zii Jia selaku pemain di ranking kedua remaja dunia, Fong Hau berazam membuktikan sesuatu dalam kejohanan itu nanti.

Bahkan, dia enggan tertekan dengan rankingnya yang kini di tangga ke-66 dunia dan tidak mustahil mampu melakar kejutan jika diiringi usaha berterusan.

"Persiapan untuk kejohanan itu semuanya dalam keadaan bagus.

"Dalam Kejohanan Remaja Dunia itu nanti, saya hanya akan memberikan cabaran terbaik tanpa mengira sama ada kalah atau menang.

"Saya mengambil sikap positif tanpa memikirkan ranking saya yang lebih rendah. Apabila bertemu lawan di ranking lebih tinggi, saya akan memberi saingan," katanya.

Bagi Jun Hao pula yang berada di ranking ke-16 dunia, dia mahu memastikan prestasinya setanding dengan Zii Jia sebelum bermulanya kejohanan bulan depan.

Selepas sembilan hari berada di India untuk kem latihan sebelum ini, dia kembali yakin untuk beraksi dan bersedia mempamerkan prestasi cemerlang di Sepanyol nanti.

"Saya harap saya dapat menampilkan persembahan terbaik di sana sebab ada lawan yang hebat seperti dari China, Jepun dan Taiwan.

"Saya harap dapat menewaskan mereka," tekadnya.