Ketua jurulatih beregu lelaki negara baru, Flandy Limpele, akan menggunakan ramuan berbeza dalam usaha meningkatkan prestasi beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di samping bersedia memberi peluang kepada semua pemain beregu lelaki di bawah seliannya untuk menyinar.

Pengendali kelahiran Indonesia itu hadir dengan impian cukup menggunung untuk membantu mengembalikan kegemilangan skuad beregu lelaki negara yang sebelum ini digalas rakan senegara, Paulus Firman.

Bersandarkan reputasinya sebagai pemain, Flandy jelas memiliki kredibiliti tersendiri dengan pencapaian terbaiknya ialah memenangi pingat gangsa dalam Sukan Olimpik Athens 2004.

Tambahan pula, dia turut berpengalaman berkelana melatih di beberapa negara seperti Jepun, Jerman dan India namun masih belum memenangi kejayaan yang besar.

Justeru, dia turut memasang misi sendiri sebaik tiba di Malaysia apabila mahu cuba menaikkan beregu negara termasuk menjadi wakil nombor satu dalam saingan beregu lelaki dunia.

"Saya harus buktikannya bersama Malaysia, itu sahaja.

"Ketika berkelana ke pasukan Hitachi di Jepun selama lima tahun, saya mendapati mereka mempunyai disiplin yang tinggi.

"Di Jerman pula, saya juga belajar dengan mereka kerana teori mereka bagus.

"Di India, saya belajar dan diuji. Ia ujian buat saya selama bergelar pemain dan jurulatih.

"Semakin berpengalaman seseorang pemain itu, keyakinan dan kekuatannya mental meningkat," katanya dalam perkongsian bersama wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Tidak hanya tertumpu kepada Aaron dan Wooi Yik sahaja, pengendali dari Indonesia itu mahu menggilap beberapa lagi beregu ampuh buat kem Malaysia dalam mengembalikan kegemilangan negara dalam acara itu.

"Setiap pemain berbeza, mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri, saya perlu sesuaikannya.

"Berdasarkan senario di Indonesia dan Malaysia, sasaran dan harapannya sama.

"Indonesia hanya mahu melihat sang juara sahaja, itulah cabaran saya dan perlu dibuktikan.

"Saya perlu hadapinya, tidak perlu sombong dan turuti sahaja aliran prosesnya.

"Saya tidak perlu mendahului orang atasan."