Flandy dari Indonesia bimbing beregu lelaki 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 Mei 2020 2058
Flandy dari Indonesia bimbing beregu lelaki 
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan mengejut apabila membawa masuk dua tenaga pakar baru, Flandy Limpele dan Chan Chong Ming, untuk meningkatkan prestasi beregu lelaki dan wanita negara selain membuat rombakan yang membabitkan posisi kejurulatihan negara.

Badan induk itu sedang berusaha membawa dua jurulatih berkenaan, khususnya Flandy yang berada di Indonesia untuk mengendalikan sesi latihan bulan depan seandainya permohonan mereka menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, tidak menganggap ia sebagai menekan butang panik dengan menjelaskan rombakan sedemikian adalah demi Sukan Olimpik Tokyo yang berbaki setahun lagi.

Sebaliknya, kemasukan Flandy serta bekas ketua jurulatih beregu lelaki India, Chong Ming, dianggap mampu meningkatkan lagi peluang Malaysia dalam temasya di Jepun kelak. 

"Kami menitik beratkan prestasi, tentu sahaja kami akan buat perubahan secara berkala. 

"Saya berasakan pasukan beregu lelaki memerlukan idea segar untuk membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi, kalau boleh dalam kelompok lima terbaik dunia," katanya ketika memberi reaksi terhadap wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini. 




Selain itu, perubahan struktur kejurulatihan juga membabitkan Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock yang bakal bergandingan semula untuk memimpin perseorangan lelaki.

Paulus Firman pula bertukar portfolio sebagai ketua jurulatih campuran sementara Indra Widjaya kembali dinaikkan pangkat selaku jurulatih perseorangan wanita.

"Sebelum ini mereka terikat dengan kontrak bersama negara yang terlibat hingga menyebabkan mereka tidak boleh keluar daripada kontrak tersebut memandangkan Sukan Olimpik sepatutnya diadakan Ogos tahun ini. 

"Tetapi dengan penangguhan temasya tersebut, kami berpeluang untuk memantapkan pasukan negara."


Struktur baru jurulatih BAM:

Perseorangan lelaki
1. Hendrawan (ketua jurulatih)
2. Tey Seu Bock (penolong)

Perseorangan wanita
1. Indra Widjaya (ketua jurulatih)
2. Loh Wei Sheng (penolong)

Beregu lelaki
1. Flandy Limpele (ketua jurulatih)
2. Rosman Razak dan Hoon Thien How (penolong)

Beregu wanita
1. Chan Chong Ming (ketua jurulatih)
2. Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty (penolong)

Beregu campuran
1. Paulus Firman (ketua jurulatih)
2. Teo Kok Siang (penolong)

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen