Pemain badminton beregu campuran negara profesional, Goh Liu Ying, mengakui terpaksa menolak tawaran untuk menyertai kem latihan kebangsaan kerana terikat dengan komitmen keluarga ketika ini.

Liu Ying menegaskan dia dan gandingannya, Chan Peng Soon, menerima jemputan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menyertai latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang dijadualkan bermula semalam.

Bagaimanapun, pelawaan itu terpaksa ditolak mereka termasuk pasangan beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, atas faktor komitmen keluarga.

Jika tiada perubahan terhadap dasar perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selepas 9 Jun depan, bermakna mereka tidak boleh menggunakan kemudahan pusat latihan mereka di Sri Petaling.

"Ada dapat surat tawaran tetapi kami tidak pergi kerana terikat dengan faktor keluarga melibatkan bayi dan sebagainya. Takut kalau sebulan tak keluar, agak terkejar-kejar," ujar Liu Ying.

"Saya tunggu mereka yang lain untuk sama-sama menyertai latihan walaupun secara peribadi, saya tidak sabar untuk menyambung aksi."

Bagaimanapun, BAM memahami situasi kedua-dua pemain beregu campuran profesional itu serta tidak berkecil hati dengan keputusan dibuat Peng Soon dan Liu Ying.

Mereka dijangka akan kembali menyertai latihan di ABM pada pertengahan Julai sebanyak dua minggu sekali seperti yang termaktub dalam perancangan awal BAM.

"Selepas menilai faktor yang ada, mereka juga membuat keputusan untuk hanya menyertai kem selepas Jun. Jadi, bukan kami tidak benarkan tetapi ia adalah keputusan hasil daripada persetujuan bersama," ujar Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Haan.