Ewe Hock sedia bantu Soniia layak ke Tokyo

Oleh Ammar Hakim 18 Februari 2021 3047
Ewe Hock sedia bantu Soniia layak ke Tokyo
Ketika ramai hilang kepercayaan dengan kebolehan Soniia Cheah, ekoran prestasi hambar dipamerkan, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, Ong Ewe Hock, sebaliknya sedia membuka pintu kepada perseorangan wanita pertama negara itu.

Menerusi temu bual bersama Syakirah Zulkifly, Ewe Hock, percaya ada ramuan yang mampu mengembalikan prestasi Soniia dalam misi rebut tempat ke Olimpik Tokyo.

Selepas Soniia digugurkan daripada kem kebangsaan, Ewe Hock individu yang membuka laluan kepada pemain berusia 28 tahun itu untuk meneruskan perjuangan merebut mata Olimpik.

Selain berjaya membantu mendapatkan penaja, Ewe Hock juga bersedia menurunkan ilmu dan pengalaman kepada Soniia, malah menganggap tiada rakan sepelatih untuk pemain perseorangan wanita profesional, bukan satu masalah.

Bagaimanapun, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan Ewe Hock hanya menanti keputusan Soniia.

"Saya sendiri telah menawarkan diri untuk mendapatkan penajaan hingga tamat untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik. Dia sudah kelihatan bakal ke Olimpik dan kini memerlukan sokongan meningkatkan lagi mutu permainannya," katanya.

"Kami sedia menanti kehadiran Soniia untuk membuat keputusan dan kami akan membantunya dengan sebaik mungkin."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen