Kritikan daripada kalangan bekas pemain tidak bermakna mereka mahu melihat inisiatif Persatuan Badminton Malaysia (BAM) gagal dalam megembalikan kegemilangan badminton negara.

BAM menawarkan Projek 24 sebagai pelan yang mampu mengembalikan kegemilangan badminton Malaysia menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain menjanjikan emas dalam temasya tersebut, BAM menjadikan penampilan dalam final Piala Thomas 2024 sebagai penanda aras keberkesanan program itu.

Inisiatif Projek 24 itu, terutama kemahuan mencabar kejuaraan Piala Thomas, disambut baik bekas perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock, yang sebelum ini lantang menawarkan pandangan membina buat BAM.

"Saya berasa sedih kerana sehingga kini Malaysia masih tidak mampu menjulang Piala Thomas dan kemampuan negara semakin menurun. Dalam keadaan semasa, untuk melangkah ke suku akhir sekalipun merupakan satu cabaran yang sukar," katanya.

Dia turut melahirkan rasa gusar kepada kualiti program remaja kebangsaan yang bakal diserapkan ke skuad senior satu hari nanti.

Ini susulan kegagalan skuad Kejohanan Remaja Dunia 2019 negara di Kazan, Russia yang tidak berupaya mencabar kejuaraan berpasukan serta individu.

"Daripada Kejohanan Remaja Dunia, Malaysia sering kali memiliki juara ataupun sekurang-kurangnya finalis tetapi kali ini gagal menghasilkan keputusan yang positif dan ia adalah petanda yang buruk."