Ee Yi, Yew Sin sedia keluar daripada belenggu prestasi

Oleh Staff Writer 28 Disember 2018 97
Ee Yi, Yew Sin sedia keluar daripada belenggu prestasi
Di sebalik tekanan memuncak skuad beregu lelaki negara, gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sudah bersedia untuk memulakan cabaran untuk mengeluarkan mereka daripada belenggu prestasi.

Ee Yi dan gandingannya, Yew Sin, akur skuad beregu lelaki perlukan langkah kanan dalam tahun 2019 selepas gagal memenangi sebarang kejuaraan sepanjang tahun ini.

Mereka dan gandingan senior, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, serta pasangan meningkat naik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, layak ke saingan utama Masters Malaysia yang akan bermula 15 Januari ini.

Sebelum itu, mereka akan memanaskan badan menerusi penyertaan dalam Kejohanan Masters Thailand.

"Kami beraksi kurang baik sepanjang tahun ini.

"Saya berharap kami dapat meningkatkan keyakinan menerusi kejohanan Masters Thailand dan Malaysia.

"Kami sekurang-kurangnya perlu layak ke pusingan suku akhir," kata Ee Yi.

Ee Yi juga berpandangan tekanan daripada Aaron dan Wooi Yik merupakan pembakar semangat yang diperlukan mereka sebagai gandingan senior.

Aaron-Wooi Yik sudah pun memintas Ee Yi-Yew Sin sebagai gandingan kedua terbaik negara dan dijangka akan mencabar Wee Kiong-V Shem sebagai beregu terbaik Malaysia.

"Ia perkara yang baik kerana ia mampu memberikan cabaran antara kami," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen