“Tidak anggap dipermainkan sama-sekali,” itu luahan pemain badminton beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin, yang menyifatkan percaturan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), untuk kembali menggandingkan mereka adalah tepat.

Keputusan BAM untuk menggandingkan semula pasangan ini selepas dipisahkan pada September lalu mungkin dilihat tidak adil apabila mereka telah berusaha keras mencipta keserasian bersama gandingan baru masing-masing, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Bagaimanapun, pasangan ini tidak menganggap ia adalah langkah yang salah kerana itu merupakan keputusan tepat untuk memenuhi peraturan baru kejohanan 2018 yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Kami tidak kecewa tetapi ia merupakan keputusan yang telah dibincangkan oleh BAM,” kata Ee Yi.

"Gandingan baru akan menyukarkan peluang untuk beraksi dalam saingan Siri Super serta kelayakan Piala Thomas."

Tiada istilah hanya dijadikan bahan ekseprimen oleh BAM, sebaliknya Ee Yi dan Yew Sin percaya mereka mampu mencipta keserasian selepas ini.

Ini kerana apa yang telah dipelajari bersama beregu mantap seperti V Shem dan Wee Kiong masih lagi berguna untuk mereka menerapkannya dalam latihan menjelang tahun baru 2018.

“BAM memberikan peluang menggandingkan kami bersama V Shem dan Wee Kiong buat sementara bagi mendapatkan pengalaman baru dan ia sememangnya memberikan kami kelebihan bagi menghadapi saingan tahun depan,” kata Yew Sin.