Arena badminton negara gempar dengan pendedahan bahawa dua pemain profesional tempatan digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati terbabit dengan skandal mengatur keputusan perlawanan.​

Tanpa identiti mereka didedahkan, seorang daripada mereka berusia 25 tahun dan pernah menjuarai dua kejohanan BWF manakala seorang lagi berusia 31 tahun yang turut pernah beraksi dalam beregu.

Ia segera mengundang amaran keras Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, bahawa tiada toleransi akan diberikan terhadap mana-mana pemain negara yang terlibat dengan gejala berkenaan.

Norza, yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM hari ini, mengesahkan dua pemain negara kini berada dalam siasatan BWF.

Kedua-dua pemain itu bukan berada di bawah naungan badan induk berkenaan dan BAM menyerahkan sepenuhnya kes tersebut kepada BWF sebelum memutuskan apa bentuk hukuman mahupun tindakan selanjutnya yang akan diambil.

"Saya boleh mengesahkan bahawa tindakan telah diambil oleh BWF terhadap dua pemain negara. Ia adalah keputusan penuh daripada BWF, termasuk proses pendengaran buat pemain-pemain itu," katanya.

Bagi Norza, insiden yang berlaku itu secara tidak langsung menjejaskan imej badminton negara walaupun pemain yang terlibat tidak mewakili BAM.

Justeru, dia memberikan satu peringatan buat pemain sedia ada agar tidak sama sekali mencuba untuk terlibat dengan gejala itu.

"Perkara ini memberikan kesan kepada kami dan ia juga sebagai peringatan buat semua pemain bahawa setiap orang diperhatikan daripada melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan," tambahnya.