Sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, hanya memiliki tempoh dua bulan untuk mengenal pasti masalah yang membelenggu skuad remaja sebelum membentuk program yang mampu melahirkan juara remaja dunia.

Misbun disifatkan BAM sebagai individu yang mampu menyelamatkan program remaja negara susulan kegagalan Malaysia untuk mencabar Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Remaja Dunia pada 2019.

Pelantikan itu bersifat serta-merta dan Misbun akan memantau beberapa aspek program remaja sebelum memutuskan keperluan untuk melakukan rombakan besar atau tidak.

"Apabila saya menerima (peranan) ini, saya harus mempunyai hala tuju berdasarkan cerita-cerita kegagalan skuad remaja pada 2019.

"Ia menjadi iktibar buat saya dan mungkin sudah masanya untuk saya membantu program remaja," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, pula menyimpulkan tempoh dua bulan itu akan menawarkan ruang kepada Misbun untuk mengenal pasti kelemahan struktur kem remaja yang semakin lesu di pentas antarabangsa.

"Kami memberinya mandat dalam tempoh sebulan dua ini untuk melihat setiap bahagian dan jurulatih sebelum Misbun memperkenalkan struktur baru," katanya.

Tambah Misbun lagi, di sebalik hasrat untuk melahirkan juara remaja Asia dan dunia secepat mungkin, dia juga mahu menggilap bakat muda negara di bawah programnya muncul sebagai pemain nombor satu dunia pada masa akan datang, seperti tiga bekas anak didiknya termasuk Datuk Lee Chong Wei.

"Ia sentiasa menjadi cita-cita saya selain hakikat bahawa saya pernah melahirkan tiga pemain nombor satu dunia, jadi tidak salah untuk saya mencari yang keempat.

"Saya mahu melahirkan juara remaja Asia, dunia dan pertandingan di bawah 15 tahun yang dianggap penting.

"Oleh itu kami perlu memikirkan soal bagaimana kami akan mempersiapkan pemain-pemain untuk ke arah itu.

"Setelah mendapat landasan yang bagus, kemudian mereka akan diserapkan sebagai pelapis negara untuk memudahkan lagi (tugas kami untuk melahirkan jaguh dunia)."

Editor: Shaiful Shamsudin