Dua beregu campuran negara yang sedang merebut tiket ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan dalam dilema untuk menyertai baki kejohanan antarabangsa musim ini.

Ia disebabkan mereka kemungkinan perlu mengambil risiko ke luar negara ketika dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19.

Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, yang masing-masing di ranking ke-11 dan 12 dunia, berpeluang menyertai empat kejohanan berstatus Super 750 dan Super 1000 yang distrukturkan semula Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang hujung tahun ini.

Buat masa ini, keputusan untuk menyertai kejohanan di Eropah dan Asia itu masih bergantung kepada penganjuran Piala Thomas dan Uber.

Selain itu, kejohanan berstatus terbuka berkenaan turut tidak menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Memang perasaan yang bercampur-baur, saya teruja untuk mendapatkan kembali suasana kejohanan tetapi dalam masa sama agak risau juga kerana semua negara masih belum stabil dan masih belum ada vaksin (COVID-19)," kata Shevon kepada wakil Nadi Arena, Shahrazad Sani.

"Setakat ini masih belum ada keputusan sama ada kami akan menyertainya atau tidak kerana ia bergantung sama ada kejohanan yang akan datang ini akan memberikan mata ranking atau tidak," katanya.

Kian Meng menambah: "Saya memang rasa teruja tetapi keselamatan harus diutamakan. Kena lihat bagaimana pendekatan dan SOP (prosedur operasi standard) BWF.

"Apa yang paling penting adalah keselamatan pemain.

"Kami perlu menantikan jawapan BWF kerana sekiranya mata ranking dunia ini termasuk kedudukan bagi tahun depan, kami perlu menyertainya," katanya.