Restu daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren, bersemangat membara untuk beraksi dalam Kejohanan Dunia.

Daren mencipta kejutan apabila mengetepikan pemain kebangsaan lain seperti Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin untuk ke Nanjing, China.

Dia akan mengiringi Datuk Lee Chong Wei selepas kemaskini ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada penghujung bulan lalu sudah cukup untuknya tampil buat kali kedua di pentas itu selepas edisi 2013.

Tahun itu juga merupakan kali terakhir Malaysia memiliki tiga wakil perseorangan dalam Kejohanan Dunia. Selain Chong Wei yang ke final, Daren dan Chong Wei Feng mempamerkan aksi melawan sebelum kecundang dalam pusingan ketiga kepada Chen Long dan juara, Lin Dan.

"Ini merupakan kali kedua saya ke Kejohanan Dunia dan ia tidak dijangka kerana dari awal tahun, ranking saya mungkin di tempat keempat atau kelima di Malaysia. Jadi, saya tidak menyangka dapat melayakkan diri.

"Terima kasih kepada BAM kerana memberikan peluang untuk saya beraksi walaupun mereka boleh sahaja memberi laluan kepada pemain lain," katanya.