Perseorangan lelaki profesional negara, Liew Daren, bingung apabila dikhabarkan namanya berada dalam radar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk dibawa ke Sukan SEA Filipina, hujung tahun ini.

Pemain berusia 32 tahun itu terkejut kerana berpendapat BAM mempunyai bakat muda yang jauh lebih berpotensi untuk diketengahkan di peringkat Asia Tenggara berbanding dirinya yang sudah bergerak secara profesional sejak 2016.

Namun, dia tidak menolak jika benar BAM mahukan khidmatnya mengiringi perseorangan utama, Lee Zii Jia, ke temasya dwitahunan itu sambil sedia mempertimbang untuk mengetepikan beberapa kejohanan demi cuba meraih pingat emas.

Hakikatnya, dia tidak pernah meraih emas di pentas Sukan SEA dengan kali terakhir penampilannya di Palembang 2011 berakhir dengan kilauan perak dalam acara berpasukan lelaki.

"Sebenarnya, saya tidak dimaklumkan apa-apa. BAM pun tidak beritahu sebarang perkara, jadi fokus memang tidak terarah kepada Sukan SEA. Ia bergantung kepada mereka. Kalau BAM mahu pendedahan, lebih baik panggil pemain muda tetapi jika mahukan emas, mungkin kami boleh lihat semula," katanya.

Tumpuan Daren kini terarah kepada persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland, memandangkan dalam edisi tahun lalu di Nanning, China, dia mencipta kejutan dengan meraih gangsa, sekali gus menjadi perseorangan lelaki ketiga merangkul pingat dalam kejohanan itu selepas Wong Choong Hann dan Datuk Lee Chong Wei.

"Tahun ini diharapkan prestasi lebih baik kerana tahun lalu tidak begitu memuaskan," tambah Daren.