Satu ketika dahulu, gelanggang latihan dan kompetitif sentiasa tersedia buat Datuk Lee Chong Wei dalam kisah kebangkitan akibat kecederaan dalam memburu kejuaraan tertinggi dunia.

45 hari berlalu sejak kali terakhir badminton menyajikan aksi berkelas perdana sebelum semua pertandingan ditunda akibat wabak novel koronavirus (Covid-19), ia mengundang tanda tanya mengenai mental pemain seperti sandaran utama perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, dalam menuju ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 sebagai pencabar pingat.




"Kali terakhir saya beraksi adalah ketika bertemu Viktor Axelsen dalam separuh akhir Kejohanan Seluruh England.

"Sampai sekarang saya tidak pernah menjejaki gelanggang untuk menjalani latihan sekalipun.

"Sekarang kemahiran dan rentak saya semuanya sudah hilang.

"Kalau untuk berlatih semula, saya pasti akan berasa risau dan takut," katanya, yang turut mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menerusi temu bual dalam talian bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani.

Menurutnya lagi: "Kalau ditimpa kecederaan sebelum ini, saya masih boleh pergi ke gelanggang untuk mengasah sentuhan dan tengok pemain lain beraksi, ia dapat memberikan saya perasaan dalam permainan.

"Kini saya sudah mula kebosanan, lagipun ketika ini tiada sasaran dalam latihan jadi saya tiada semangat.

"Selama ini saya masih ada kejohanan jadi saya boleh menetapkan sasaran untuk diri sendiri.

"Setiap dua atau tiga minggu saya akan menyertai kejohanan maka ia menyuntik semangat saya untuk berlatih."

Selain dari kebangkitan gemilang Chong Wei dalam Sukan Olimpik London 2012 apabila mara ke final biarpun ditimpa cedera sebelumnya, pemain legenda itu rupanya sarat dengan kejutan.

Malah, biarpun digantung selama 240 hari tanpa memegang raket, dia masih mampu untuk bangkit meraih pingat perak dalam Kejohanan Dunia selepas itu.

Situasi pemain kelahiran Kedah itu turut mendapat perhatian bekas jurulatih negara, Rashid Sidek, yang sempat membimbing Chong Wei.

"Kalau mahu dibandingkan di antara Zii Jia dengan Chong Wei memang jauh sebab sebelum itu Chong Wei sudah banyak kali meraih kejuaraan selain berpengalaman luas.

"Oleh itu, untuk bangkit tidak terlalu sukar.

"Zii Jia merupakan pemain yang sedang meningkat naik, prestasinya belum memuncak," katanya.