Status terkini pusingan akhir badminton Piala Thomas dan Piala Uber yang sepatutnya berlangsung di Denmark Mei ini belum dapat dipastikan selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih belum mengadakan majlis undian kejohanan.

"Undian Piala Thomas dan Piala Uber sepatutnya dibuat hari ini dan ia telah ditunda. Sama ada Piala Thomas dan Piala Uber akan dijalankan pada bulan Mei masih lagi tidak diketahui dan pihak BWF perlu melakukan keputusan dengan segara," kata Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh.

Sementara itu, Kenny turut menantikan keputusan akhir BWF sama ada akan membuatkan anjakan siri kelayakan ke Sukan Olimpik ataupun tidak.

"Pihak BAM merupakan antara persatuan badminton negara yang menulis secara rasmi kepada BWF memohon untuk melanjutkan kelayakan Sukan Olimpik. BWF telah memberi maklum balas mereka masih lagi belum memiliki sebarang perancangan untuk melanjutkan saingan kelayakan dan perlu berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Olimpik Antarabanga (IOC).

"Kami berharap ia dilanjutkan kerana masih lagi ramai pemain negara dalam usaha untuk layak ke Sukan Olimpik namun penularan Covid-19 adalah sesuatu di luar jangka kita semua."

BAM juga tetap percaya bahawa usaha berlandaskan program 2024 mampu melahirkan lebih ramai juara masa depan, malah pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia juga sudah berada di landasan terbaik.

"Saya enggan membandingkan Zii Jia dengan Lee Chong Wei. Chong Wei seperti yang diketahui adalah pemain yang istimewa. Apa yang kami mahu membentuk setiap pemain negara mampu mencabar pemain elit dunia. Ini bermakna kami tidak memberikan tumpuan kepada seorang pemain sahaja," tambahnya lagi.